10 CARA MENENANGKAN HATI
Betapa mahalnya harga ketenangan jiwa. Banyak yang mengorbankan apa saja untuk
mendapatkannya. Namun, tak sedikit juga yang keliru. Lihat saja apabila
seseorang ingin mendapatkan ketenangan jiwa, sangup menghabiskan masa
berjam-jam untuk berhibur sambil mengambil minuman keras. Tak sedikit yang
menghabiskan wang ribuan ringgit untuk mendapatkan pil penenang. Sementara,
ketenangan yang diperolehi hanya sebentar saja. Akibatnya bukan ketenangan jiwa
yang diperolehi tetapi kerosakan dan kehancuran yang diterima.
Kehidupan setiap hari dengan berbagai-bagai masaalah menyebabkan seseorang
mendapat stress, risau, bimbang, gangguan emosi dan kemurungan. Kehidupan yang
mencabar, keperluan dan tuntutan kehidupan yang meningkat, kos sara hidup yang
tinggi kesemuanya menyumbang kepada keadaan jiwa yang tidak tenang dan
memberikan tekanan jiwa yang amat membimbangkan. Apabila keadaan ini tak dapat
dikawal dikhuatiri berbagai masaalah yang akan timbul, dan kadangkala boleh
mengakibatkan seseorang itu bertindak diluar batasan manusia yang sihat.
Contohnya faktor bunuh diri, penderaan seksual, penyiksaan fizikal terhadap
kanak-kanak dan pembantu rumah,membuang dan membunuh bayi yang baru dilahirkan,
hinggakan ianya boleh sampai keperingkat membunuh orang lain.
Sahabat yang dimuliakan,
Hakikat sebenarnya, tak ada seorang pun boleh terlepas dari masaalah kehidupan.
Itulah sunatullah yang berlaku di dunia. Kekayaan, pangkat dan kedudukan takkan
mampu menghalanginya.
Namun, Islam memberikan penyelesaian terhadap tekanan hidup itu agar jiwa
menjadi tenang. Tak ada istilah stress atau kecewa bagi seorang Mukmin.
Persoalannya Islam telah memberikan penyelesaian untuk menghadapi tekanan
hidup. Berikut adalah langkah-langkah yang boleh dilakukan untuk mendapat
ketenangan jiwa:
1. Membaca dan mendengarkan kitab suci
al-Qur'an :
Suatu ketika seseorang datang kepada Ibnu Mas’ud, salah seorang sahabat utama
Rasulullah s.a.w.. Ia mengeluh, “Wahai Ibnu Mas’ud, nasihatilah aku dan berilah
ubat bagi jiwaku yang gelisah ini. Hari-hariku penuh dengan perasaan tak tenteram,
jiwaku gelisah, dan fikiranku kusut. Makan tak lalu, tidur pun tak lena,"
kata orang tersebut.
Ibnu Mas’ud menjawab, ”Kalau penyakit itu yang menimpamu, maka bawalah hatimu mengunjungi tiga tempat :
Pertama, tempat orang membaca al-Quran. Engkau baca
al-Quran atau engkau dengar baik-baik orang yang membacanya.
Kedua, engkau pergi ke majlis ilmu yang mengingatkan
hatimu kepada Allah.
Ketiga, engkau cari waktu dan tempat yang sunyi, di sana
engkau berkhalwat mengabdikan diri kepada Allah.
Nasihat sahabat Nabi itu segera dilaksanakan orang
tersebut. Sampai saja di rumah, segera ia berwudhu kemudian diambilnya
al-Qur'an dan dibacanya dengan khusyuk. Selesai membaca, ia segera dapati
hatinya memperoleh ketenteraman, dan jiwanya pun tenang. Fikirannya segar
kembali, hidupnya terasa seronok kembali. Padahal, ia baru melaksanakan satu
dari tiga nasihat yang disampaikan sahabat Rasulullah s.a.w tersebut.
2. Menyayangi orang miskin :
Rasulullah s.a.w memerintahkan kepada Muslim yang punya kelebihan harta untuk
memberikan perhatian kepada orang miskin. Ternyata, sikap dermawan itu boleh
mendatangkan ketenangan jiwa. Mengapa? Dalam sebuah hadis dijelaskan bahwa para
Malaikat selalu mendoakan orang-orang dermawan:
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya :“Setiap pagi hari dua Malaikat
senantiasa mendampingi setiap orang. Salah satunya mengucapkan do'a: ' Ya
Allah! Berikanlah balasan kepada orang yang bersedekah. Dan Malaikat yang kedua
pun berdo'a :' Ya Allah! Berikanlah kepada orang yang kedekut itu kebinasaan."
Dari hadis tersebut dapat disimpulkan bahwa orang yang dermawan itu memperoleh
dua balasan. Pertama, ia mendapatkan ganjaran atas apa yang diberikannya kepada
orang lain. Kedua, mendapatkan limpahan ketenangan jiwa dan belas kasihan dari
Allah s.w.t.
3. Melihat orang yang di bawah, jangan
lihat orang di atas :
Ketenangan jiwa akan diperoleh jika kita senantiasa bersyukur atas segala
pemberian Allah s.w.t, meskipun nampak sedikit. Rasa syukur itu akan muncul
bila kita senantiasa melihat orang-orang yang lebih rendah taraf kehidupannya
dari kita, baik dalam segi harta kekayaan, tahap kesihatan, rupa paras,
pekerjaan dan pendidikannya. Betapa ramai di dunia ini orang yang kurang
bernasib baik. Rasa syukur itu selain mendatangkan ketenangan jiwa, juga akan
mendapat ganjaran dari Allah s.w.t.
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :
"Siapa yang tidak bersyukur dengan pemberian yang
sedikit, dia juga tidak akan bersyukur dengan pemberian yang banyak. Siapa yang
tidak mensyukuri manusia, bererti dia juga tidak mensyukuri Allah.
Memperkatakan nikmat Allah adalah tanda syukur, dan mengabaikannya adalah
kufur. Berjemaah itu dirahmati, sedangkan berpecah belah itu mengundang
azab."
(Hadis Riwayat Ahmad dalam Musnad Ahmad)
4. Menjaga perhubungan silaturahim :
Manusia adalah makhluk ciptaan Allah yang memerlukan perhubungan sesama
manusia, untuk bantu membantu sesama mereka. Berbagai keperluan hidup tak
mungkin diperolehi tanpa bantuan orang lain. Oleh itu, di dalam hadis
Rasulullah s.a.w diperintahkan untuk tetap menjalin hubungan silaturahim,
sekalipun terhadap orang yang melakukan permusuhan.
Rasulullah s.a.w. juga pernah bersabda bahwa silaturahmi dapat memanjangkan
umur dan memurahkan rezeki . Hubungan yang baik di dalam keluarga, maupun
dengan jiran tetangga akan mendatangkan ketenangan, kedamaian dan kemesraan.
Hubungan yang baik itu juga akan menyelesaikan berbagai masaalah yang dihadapi
oleh masyarakat.
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, "Barangsiapa menjamin untukku
satu perkara, aku jamin untuknya empat perkara. Hendaklah dia bersilaturahim
(menjalinkan hubungan baik) nescaya keluarganya akan mencintainya, diperluas
baginya rezeki, ditambah umurnya dan Allah s.w.t. memasukkan ke dalam
Syurga."(Hadis Riwayat Ar-Rabii)
5. Banyak mengucapkan kalimah "la
hawla wa la quwwata illa billah." dan berzikir kepada Allah.
Sumber ketenangan jiwa yang hakiki adalah bersumberkan dari Allah s.w.t. Oleh
itu hendaklah kita selalu menghubungkan hati dengan Allah s.w.t. dalam semua
keadaan, baik dalam keadaan senang maupun susah. Banyakkanlah berzikir dan
membaca kalimah-kalimah Allah. Perhubungan yang kuat dengan Allah s.w.t. akan
membuat jiwa seseorang menjadi kuat, tak mudah diganggu gugat oleh sesiapa pun,
apabila hati sentiasa mengingati Allah maka syaitan laknatullah tidak akan
dapat mempengaruhi hati dan fikiran kita.
6. Mengatakan kebenaran walaupun ianya
pahit didengar :
Hidup ini harus dijaga agar senantiasa berada di atas jalan kebenaran.
Kebenaran harus diperjuangan. Pelanggaran terhadap kebenaran akan mendatangkan
kegelisahan. Ketenangan jiwa akan terbina apabila kita tidak melanggar
nilai-nilai kebenaran. Sebaliknya, pelanggaran terhadap kebenaran akan
berpengaruh terhadap ketenangan jiwa. Lihat saja orang-orang kerap berbuat
maksiat, kehidupannya dipengaruhi kegelisahan.
7. Sentiasa berlapang dada terhadap
kecaman orang lain asalkan yang kita lakukan benar-benar kerana Allah :
Salah satu faktor yang membuat jiwa seseorang tidak tenang adalah kerena selalu
mengambil perhatian kecaman orang lain terhadap dirinya. Sedangkan seseorang
akan memiliki pendirian yang kuat jika berpegang kepada prinsip-prinsip yang
datang dari Allah s.w.t. iaitu Islam sebagai cara hidup. Sekiranya kita ikuti
apa yang berlaku di dunia sekarang ini, ianya akan menganggu ketenagan jiwa
kita.
8. Tidak meminta-minta kepada orang lain
:
"Tangan di atas (memberi) lebih mulia dari tangan di bawah" adalah
hadis Rasulullah s.a.w yang memotivasi setiap mukmin untuk hidup berdikari.
Tidak bergantung dan meminta-minta kepada orang lain, kerana jiwanya akan kuat
dan sikapnya lebih berani dalam menghadapi kehidupan. Sebaliknya, orang yang
selalu meminta-minta menggambarkan jiwa yang lemah. Hal ini tentu membuat
jiwanya tidak tenang.
9. Menjauhkan diri dari berhutang :
Dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w dengan tegas mengatakan yang bermaksud :
“Janganlah engkau jadikan dirimu ketakutan setelah
merasakan keamanan!”
(Para sahabat) bertanya:" Bagaimana boleh terjadi seperti itu!" Sabdanya :" Kerana hutang.”
Begitulah kenyataanya. Orang yang berhutang akan senantiasa bimbang dan risau,
kerena ia akan didatangi oleh orang yang memberi hutang kepadanya. Inilah salah
satu faktor yang membuat banyak orang mengalami tekanan jiwa. Rasulullah s.a.w
juga mengatakan dalam hadisnya yang bermaksud : “Hendaklah kamu jauhi hutang,
kerena hutang itu menjadi beban fikiran di malam hari dan rasa rendah diri di
siang hari."
10. Selalu berfikiran positif :
Mengapa seseorang mudah stress dan jiwa tak tenang? Salah satu faktornya kerena
ia selalu berfikiran negatif. Selalu mencela dan menyesali kekurangan diri.
Padahal, setiap kita diberikan oleh Allah s.w.t. berbagai kelebihan. Ubahlah
fikiran negatif itu menjadi positif. Ubahlah perasaan keluh kesah yang membuat
muka berkerut, lemah badan dan kecewa dengan ucapan yang mengembirakan. Ucapan
yang mengembirakan akan membuat kita mudah tersenyum, jiwa menjadi lebih
bersemangat. Bukankah di balik kesulitan dan kegagalan ada hikmah yang boleh
jadi pelajaran? Dan bukankah disebalik kesulitan ada kemudahan?